Jawapan :
Seorang suami yang telah berkahwin lebih dari
satu hendaklah berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Allah swt
menyebut di dalam Surah An Nisa ayat 3,
“Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu
berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (apabila kamu
mengahwininya) maka kahwinilah perempuan (lain) yang kamu senangi ;dua,
tiga ,atau empat.tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil
maka(nikahilah) seorang saja atau hanba sahaya perempuan yang kamu
miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.”
Ayat tersebut menjelaskan kewajipan seorang
suami memberikan hak dengan adil terhadap isteri-isterinya.Namun jika
lelaki tersebut mengkhuatiri tidak mampu berlaku adil, maka adalah lebih
baik untukknya mengahwini seorang wanita sahaja. Hikmah larangan ini
adalah supaya tidak berlaku kezaliman dan penganiayaan terhadap
isteri-isteri yang dinikahi.
Berlaku salah faham dalam masyarakat terhadap
maksud adil yang sebenar.Orang kebanyakan menyangka maksud adil ialah
sekadar membahagi sesuatu secara sama rata. Contohnya jika anak lelaki
dibelikan mainan kereta, maka anak perempuan juga perlu diberikan
permainan kereta.
Sebenarnya sifat adil bermaksud meletakkan
sesuatu pada tempatnya. Atas sebab itulah lawan kepada adil ialah zalim
iaitu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil meletakkan penilaian
berdasarkan hak, bukan sekadar sama rata.
Jika anak lelaki dibelikan permainan kereta
maka anak perempuan perlu diberi permainan anak patung dan sebagainya.
Maka dengan itu ibubapa telah memberikan hak yang sepatutnya terhadap
anak-anaknya.
Begitu juga didalam kehidupan suami isteri. Suami wajib memberikan hak yang sepatutnya kepada isteri-isterinya secara adil. Setiap
isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa
kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal
dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.
Namun adakalanya ada perkara yang perlu
dilebihkan kepada isteri tertentu dan ada yang perlu dikurangkan pada
isteri yang lain.Keadilan bukanlah memberi yang sama pada setiap masa.
Contohnya jika pada suatu hari, seorang anak kepada isteri kedua jatuh
sakit dan telah dimasukkan ke hospital. Si suami perlulah memainkan
peranan dengan memberikan lebih masa kepada keluarga isteri kedua kerana
di waktu itu, isteri dan anaknya sangat memerlukan sokongan suaminya.
Di waktu inilah, iseri-isteri yang lain perlu bertimbang rasa agar suami
mampu menjalankan tugasnya dengan baik.
Di dalam masalah yang diutarakan, suami perlu
memberikan hak yang sepatutnya kepada isteri pertama dan isteri-isteri
yang lain. Jika anak kepada isteri pertama lebih ramai maka sepatutnya
suami perlu menyediakan kediaman yang bersesuaian dan lebih selesa
kepada isteri dan anak-anaknya.Mungkin rumah untuk isteri pertama lebih
besar dari rumah untuk isteri kedua, tetapi ia adalah bersesuaian dengan
situasi dan keadaan kedua-dua isteri dan anak-anak.
Adapun dalam masalah Ibadah Haji, perkara ini
perlu dilihat lebih mendalam kerana kewajipan ibadat tersebut bergantung
kepada kemampuan. Jika suami memang tidak mampu adalah tidak berdosa
jika tidak membawa isteri-isterinya mengerjakan haji. Namun jika dia
mampu wajib keatasnya membawa isteri-isterinya.
Kepada suami (yang berpoligami) perlu
ingat bahawa Allah SWT Maha Mengetahui adakah suami tersebut sedaya
upaya cuba bersifat adil atau adakah dia bersifat zalim terhadap
isteri-isterinya. Ingatlah akan hadis Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang
mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di
antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di
hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir
jatuh sebelah.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Sunnah Rasulullah SAW bukalah sekadar pada
poligami tetapi juga meliputi bersifat adil dalam poligami. Perkara ini
disebut dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Aisyah RA yang menjadi
saksi sendiri keadilan Rasulullah SAW dalam poligami :
Bahawa Rasulullah (s.a.w.) selalu berlaku
adil dalam mengadakan pembahagian antara isteri-isterinya. Dan beliau
berkata dalam doanya: “Ya Allah, inilah kemampuanku membahagi apa yang
ada dalam milikku. Ya Allah, janganlah aku dimarahi dalam membahagi apa
yang menjadi milikku dan apa yang bukan milikku.”
Apa pun bagi saya, perkara yang paling penting
dalam perkahwinan samada seorang isteri atau lebih dari satu (poligami)
adalah perbincangan yang tulus secara baik antara suami dan
isteri-isterinya.
Wallahu a’lam