Pada satu hari ada seorang Yahudi daripada Mesir baru sahaja tiba di
Madinah. Apabila sampai di Madinah si Yahudi itu bertanya dengan seorang
lelaki di mana letaknya istana Khalifah atas sesuatu urusan.
Istana
Maka lelaki itu memberitahu lepas zohor nanti beliau akan berjumpa
dengan khalifah duduk berehat di depan masjid di bawah sebatang pokok
kurma.
Si Yahudi terbayangkan keindahan istana khalifah difikirannya. Namun
begitu apa yang difikirkan olehnya ternyata salah sama sekali.
Dia bingung dan pelik dengan apa yang dilihatnya, ternyata tempat yang
ditunjukkan lelaki itu tidak ada satu pun bangunan megah yang mirip istana.
Apa yang dilihatnya hanya sebatang pohon kurma dan di bawah pohon kurma
ada seorang lelaki berjubah kusam yang sedang bersandar yang kelihatan
memejamkan mata sambil berzikir.
Si Yahudi itu tidak mempunyai pilihan lain kecuali mendekati lelaki
tersebut.
"Maaf saya ingin bertemu dengan Umar bin Al-Khattab?" tanya lelaki
Yahudi itu.
"Akulah Umar bin Al-Khattab" jawab lelaki itu seraya bangun berdiri.
Si Yahudi itu terpinga-pinga seolah-olah tidak percaya lalu bertanya lagi.
"Saya maksudkan Umar, Khalifah yang memerintah negeri ini." jawab si
Yahudi dengan tegas.
"Ya akulah Umar yang memerintah negeri ini," jawab Umar Al-Khattab
dengan tegas juga.
Si Yahudi tadi termenung sebentar memikirkan apa yang dilihatnya jauh
berbeza dengan para rahib dan rajanya yang hidup serba mewah dengan
kekayaan yang melimpah ruah.
Dia sungguh tidak menyangka bahawa ada pemimpin Islam yang beralaskan
sehelai tikar dibawah pohon kurma berlantaikan langit di tengah-tengah
kemewahan rakyat yang hidup makmur dan bahagia.
"Dimanakah istana tuan," tanya si Yahudi itu lagi.
"Rumahku terletak di sudut jalan itu, rumah ketiga yang terakhir." jawab
Umar ra.
"Adakah rumah yang kecil dan kusam itu rumah tuan?" tanya si Yahudi lagi.
"Ya itu adalah rumahku, tetapi istanaku adalah di hati yang tenang dan
tenteram beribadah kepada Allah," jawab Umar ra.
Si Yahudi yang pada mulanya merasakan seolah-olah dipermainkan itu
berasa sungguh terharu kerana zuhudnya kehidupan Saidina Umar ra.
Seorang khalifah Islam yang mempunyai empayar yang besar tetapi
mempunyai hati yang cukup tawaduk.
Ini membuatkan si Yahudi itu benar-benar tersentuh hati lalu memeluk islam.
Dia kemudian menangis dan terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh
Saidina Umar ra, seorang Khalifah atau pemimpin yang mempunyai kehalusan
budi pekerti, tawaduk dan zuhud dari kenikmatan dunia yang hanya
bersifat sementara.